assalamualaikum



ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN

Monday, 25 June 2012

Dalam Hati Siapa Yang Tahu::.

Siapa tahu orang yang tersenyum riang dikalayak ramai namun kadangkala menangis ketika sendirian, sentiasa bersemangat hakikatnya dia yang memerlukan semangat itu. Kelihatan kuat namun hakikatnya mengaku lemah. Ketawa hakikatnya untuk menceriakan dirinya.

Siapa tahu, diri dia mempunyai masalah. Dia sentiasa menyelesaikan masalah orang lain sedangkan diri dia masih punya masalah yang jauh lebih besar. Dia sentiasa meyakinkan orang lain sedangkan hakikatnya dia mencari kekuatan diri sendiri. Dia sentiasa mencuri masa untuk bergembira dan mengembirakan hati orang lain walau hatinya sentiasa sakit. Sentiasa menjaga hati manusia walau hakikatnya dia sentiasa pendam rasa. Dia sering terasa namun hanya megkuntumkan senyuman. Siapa tahu dia punya masalah besar.

Walau kadang kala dia marah tak menentu pasal, kerana dia sudah tidak sanggup menanggung bebanan hatinya. Sering dia mengadu masalah dia pada sang pencipta, namun tekanan sekeliling membuatkan dia tiba-tiba menangis tanpa sedar. Dia memerlukan insan untuk mengadu, tetapi aduan itu disalah erti. Lalu dia terus menyimpan perasaan itu sehingga terpadam! Pendam hingga terpadam. Itu adalah yang terbaik bagi dia.

Wahai dia,
Hati mu itu, cekalkanlah.
Aduanmu itu, simpanlah
Kecewamu itu soroklah,
Ketidak puasan hatimu itu jauhkanlah,                                                       

Marah itu, padamkanlah
Sayang mu itu junjukklah
Cinta mu tonjolkanlah
Senyummu itu lahirkanlah
Walau hatimu pecah, merekah.

Siapa sahaja yang mahu mendengar masalahmu?
Tiada siapa.
Hanya Allah yang setia mendengar rintihanmu.
Kerana dia sentiasa bersama kamu
setiap masa tanpa sedetikpun kerdipan mata.
Karena sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pendengar.

P/S:Seandai ada di antara kita,merasa tiada tempat mengadu cerita,kesenangan dan kepahitan,jangan kita lupa kita masih punya yg ESA yang lebih memahami.Marilah kita sama-sama merenungkan ayat ini...

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran "(2:186)

Thursday, 24 May 2012

ALLAH kan ada...


 

Pernah tak kita rasa sedih bila kita tak dapat apa yang kita mahukan...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita sudah puas berusaha tapi selalu gagal
Pernah tak kita rasa sedih bila kita tak dapat seperti apa yang orang lain dapat...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita selalu memberi tapi tak menerima...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita selalu berkorban tapi tak dihargai...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita selalu bersusah payah untuk orang lain tapi orang lain tak nak susah sebab kita...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita buat baik untuk orang lain tapi orang salah faham akan kita atau kita dipandang enteng...
Pernah tak kita rasa sedih bila selalu cuba untuk memahami orang lain tapi orang lain tak pernah cuba memahami kita...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita selalu ada disisi orang lain, suka atau duka tapi orang lain tak pernah berada disisi kita sewaktu kita memerlukan...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita tak ada siapa-siapa pun yang boleh dibuat tempat bergantung...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita tak ada orang yang boleh memahami kita dengan baik...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita selalu cuba untuk menyenangkan orang tapi orang selalu menyakitkan hati kita...
Pernah tak kita rasa sedih bila orang lain tak menyokong kita sebagaimana kita menyokong mereka.
Pernah tak kita rasa sedih bila kita rasa kasih sayang yang kita curahkan tak berbalas sepenuhnya...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita hanya dipermainkan, dipergunakan oleh orang lain yang selalu mengambil kesempatan..
Pernah tak kita rasa sedih bila kita rasa kita tak sehebat orang lain...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita rasa kita ketinggalan...
Pernah tak kita rasa sedih bila kita rasa kita tak ada siapa-siapa.....

Kita boleh sedih kerana pelbagai sebab... tak terhitung rasanya perkara yang telah menyebabkan kita sedih dan menangis...terluka...tapi wajarkah kita untuk berasa sedih??wajarlah, kita ini kan makhluk yang lemah...menangis dapat mengubati kekecewaan dalam diri dan membebaskan galau dan walang yang beraja di hati tapi tak terungkap di bibir.

Tapi kenapa kita rasa sedih sangat.....ALLAH kan ada....

Allah kurniakan apa yang kita mahu jika Dia rasa kita perlukan...malahan Dia kurniakan apa yang kita sebenarnya perlu walaupun kita tidak mahu...
 
Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”

 
Riwayat Ahmad



 
ALLAH kan ada....sesungguhnya Dia sayang akan hambaNya yang sentiasa berusaha dan bertawakal dan berbaik sangka

ALLAH kan ada....Allah kurniakan apa yang terbaik untuk kita...kurniaan-Nya itu berbeza tapi ganjaran itu pasti kita terima sekiranya kita bersyukur.

ALLAH kan ada....kenapa nak harapkan pembalasan manusia...kita buat semua itu kan sepatutnya ikhlas, mana yang lagi best? ganjaran duniawi ke syurgawi?
ALLAH kan ada....kenapa nak harapkan penghargaan manusia, pandangan Allah lagi penting...
 Hadith :
Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

 
Riwayat Muslim

ALLAH kan ada...Dia selalu ada walau susah atau senang..cuma kita yang tidak sedar bahkan kita yang selalu melupakanNya bila kita senang...

ALLAH kan ada....setiap niat dan amalan baik kita tidak akan terlepas daripada hitungannya...biarkan saja mata-mata serong yang memandang...Allah itu Maha Mengetahui.
Hadith :

Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.”

 
(Muslim)





ALLAH kan ada...Allah yang lebih memahami kita luar dan dalam kerana Allah yang menciptakan kita. Dia tahu kelebihan dan kelemahan kita...sentiasalah mengadu pada Allah yang memahami...sesungguhnya Allah suka apabila mendengar hambaNya mengadu di sisiNya. Itu tandanya kita ini hidup bertuhan dan kita perlukan tuhan.

ALLAH kan ada....Perit bila tiada siapa disisi sewaktu kita memerlukan...bila suka ramai menerpa tapi bila duka...ramai tak nampak rupa. Tapi, Allah s.w.t bukan begitu. Dia sentiasa ada untuk kita...cuma kita yang jarang meluangkan masa untuk Dia. Malahan, bila Allah terlalu rindu akan kita, Allah meminta malaikat untuk datangkan ujian atau kesusahan kepada kita kerana Allah ingin mendengar pengaduan dan rintihan kita. hidup kita tidak akan pernah lengkap tanpaNya.

ALLAH kan ada....kenapa nak bergantung pada yang lain, hamba Allah itu sifatnya lemah, tak mungkin mereka akan selalu ada untuk kita..susah benar nak jumpa manusia yang mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri. Kita sendiri juga barangkali begitu sikapnya, tapi Allah, sentiasa ada untuk kita berpaut. Allah itu benar, janjiNya juga benar.

ALLAH kan ada....jangan cuba untuk menyenangkan semua orang, kelak kita akan terluka...kita tak akan pernah mampu memenuhi kebutuhan semua orang setiap masa. Lebih baik kita menyenangkan Allah yang telah banyak memberikan kesenangan kepada kita secara sedar ataupun tidak. Dan ketahuilah, bukan selalu Allah memberikan kesenangan untuk kita, terkadang Allah timpakan ujian untuk kita bukan untuk membuatkan kita rasa susah, tapi untuk mengajar kita untuk lebih tabah, untuk menjadi hamba yang lebih kuat...kita tak nak ke jadi golongan hamba Allah yang kuat. 

ALLAH kan ada....Allah itu wujud sedekat urat leher kita...bukan semua orang akan bersetuju mahupun menyukai apa yang kita buat...tapi beringatlah, Allah sentiasa menyukai jika kita berbakti di jalan amal, dan sesungguhnya Allah akan menjaga kita sekiranya kita menjaga hak Allah. 

ALLAH kan ada....ketahuilah wahai umat manusia, Allah itu Maha Penyayang...tiada siapa yang dapat menandingi kasihnya terhadapap kita.Sekecil zarah mana pun kebaikan yang kita lakukan tapi Allah akan balas dengan beribu-ribu kebaikan dan sebesar gunung dosa mana pun kita lakukan, Allah hanya menghitungnya sekadar itu dan tidak dilipat gandakan balasannya kerana Allah itu Maha Pemurah...mampukah kita berbuat benda yang sama sesama manusia.? 

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit”.


 
Riwayat at-Tabrani




ALLAH kan ada....curahkanlah kasih sayang kita padaNya yang lebih layak. Jangan bazirkan kasih sayang kita yang terhad itu untuk mereka yang tidak perlu, kekasih , pacar , haih, itu semua belum tentu halal bagimu. Bersederhanalah dalam menyayangi yang selain daripadaNya kerana setiap perhubungan di dunia ini tidak akan kekal. Manusia akan akan datang dan pergi, mati itu pasti...rasa cinta untuk manusia yang terbit dalam hati itu akan memudar...jadi kenapa bazirkan masa? Hanya perhubungan dengan Allah tidak akan putus melainkan  kita yang memutuskannya...tidak malukah kita, sesungguhnya Allah sentiasa menerima kita untuk berada dalam dakapanNya setiap masa walaupun kita sering menyisihkannya berkali-kali.

ALLAH kan ada....hakikatnya kita ini memang lemah, kita ini kerdil...akan sentiasa ada orang yang lebih lemah dan lebih kuat daripada kita, itu fitrah..agar kita ini terdidik dengan sifat syukur apabila dikurniakan kelebihan...agar kita sentiasa rasa cukup apabila kita sentiasa meneladani kekurangan orang lain.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.”

 
(Bukhari)



ALLAH kan ada....tidak mengapalah jika kita ketinggalan dalam mengikuti arus manusia...perlahan-lahanlah bertatih, setiap langkah teratur dalam tertib...biar lambat asal selamat, jangan terlanjur dan tersesat...Allah itu memahami...percayalah, setiap apa yang Allah kurniakan baik ganjaran atau ujian itu pasti setimpal dengan keupayaan kita...
 Masih rasa sedih bila kita rasa kita tak ada siapa-siapa.....ALLAH kan ada....^______^  SENYUM.
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.”

  
Riwayat Muslim

sumber hadith : http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith.asp




Friday, 16 March 2012

DILEMA FB (akur dalam keterpaksaan)

16 Mac 2012

Bismilahhirrahmanirrahim...setelah seminggu bergelut antara hujah akal dan bujukan hati, antara keperluan dan kehendak, antara prinsip dan tuntutan, akhirnya saya 'terpaksa rela' buka FB. Seingat saya, perkataan FACEBOOK mulai kedengaran di halwa telinga usai saya tamat peperiksaan STPM (2008). Mungkin, rangkaian sosial ini telah lama wujud dan berkembang penggunaannya dari semasa ke semasa tapi saya sendiri mengambil sikap tidak endah dengan hal-hal sebegini kerana merasakan ia kurang penting dan tidak berfaedah. Kini, hampir 10 juta rakyat Malaysia mempunyai akaun FB. Cuba bayangkan daripada 27 juta penduduk Malaysia,hampir separuh daripadanya adalah pengguna setia FB. Sejak saya melangkahkan kaki ke alam universiti, boleh dikatakan penggunaannya menghampiri tahap maksima, rata-rata pelajar U menggunakan FB untuk mereka berinteraksi secara interaktif setiap masa. Boleh dikatakan setiap hari mereka menggunakan FB untuk ber'chatting', 'update' status dan sebagainya secara kerap. Ketagihan medium interaksi yang percuma ini mendatangkan pelbagai kesan pro dan kontra kepada setiap individu. Wabak FB ini menjadi satu kegilaan buat remaja masa kini, malahan kanak-kanak sekecil 3 tahun dan warga emas yang berumur hampir 90 tahun pun sudah cekap menggunakan FB dan ia menjadi sebahagian daripada rutin harian yang mereka WAJIBkan. Bagi saya, tidaklah salah ingin menggunakan FB sebagai medium penghubung dan menambah kenalan, bahkan saya akui FB menawarkan pelbagai kelebihan yang menarik untuk kekal berhubung dalam kesibukan kita meredah ledakan teknologi dan pembangunan modenisasi. Laman sosial ini membolehkan kita menambah kenalan seramai yang mungkin dan berkongsi cerita walau dimana kita berada tanpa adanya lingkungan keterbatasan waktu dan sempadan demografi. Malahan, kegilaan berFB ini telah tersebar di seantero dunia dan menjadi perbahasan para ulama. Ada yang mengatakan hukumnya haram dan ada yang mengatakan harus, terpulang kepada penggunaanya. Malahan FB bukan sekadar digunakan sebagai laman sosial sembang semata-mata, tetapi FB kini menjadi medium yang efektif dan medan yang ampuh dan mujarab untuk mempromosikan  perniagaan, blog ,berkongsi informasi, dan juga untuk menyebarkan ilmu dan dakwah oleh para ilmuwan dan agamawan.

 

Jujur, saya katakan, saya kurang gemar dengan penggunaan FB ini kerana bagi saya lebih banyak keburukan daripada kebaikan yang kita perolehi. Selama 2 tahun saya di universiti, saya diasak oleh pelbagai pertanyaan dan permintaan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga untuk membuka akaun FB tapi saya tak endahkan.(maaf ye kawan-kawan kesayangan yang berbuih mulut menyuruh saya buka FB). Bukannya saya tidak gemar bersosial, hakikatnya saya adalah seorang yang sangat suka berkenalan dan berkawan(super-connector, hehehe). Akan tetapi, saya tidak melihat FB sebagai satu-satunya cara untuk saya berkenalan dan bersosial apatah lagi untuk merapatkan hubungan ukwah dan sebagainya. Saya lebih senang dan selesa bergaul mesra di alam realiti berbanding bergaul tak kira masa di alam maya.Ya, mungkin saya kelihatan konvesional,minda tertutup,ketinggalan dan sebagainya, tetapi sukar untuk saya menjelaskan kenapa selama dua tahun ini saya memilih untuk berpegang kepada prinsip "SAY NO TO FB!". Ada yang serkap jarang mengatakan saya prejudis dan memboikot ISRAEL, kerana itulah saya tidak mahu ada akaun FB(saya akui saya agak kurang selesa kerana pengasasnya adalah orang Yahudi), akan tetapi bukan itu pucuk pangkalnya, jika benar saya 100% anti barangan ISRAEL, seharusnya sudah saya campakkan laptop saya(tengah guna untuk menaip sekarang ini ) yang komponen dalamannya dihasilkan oleh orang Yahudi. Bukan secetek itu akal saya membuat pertimbangan namun setelah diperhalusi dari pelbagai sudut, saya rela digelar lapuk atau kuno kerana tidak mempunyai FB. Susah untuk saya jelaskan, banyak keburukannya yang saya rasa sukar untuk saya hindari apabila mempunyai FB namun dalam waktu yang sama tidak juga saya nafikan kebaikan dan kepentingannya.
Ringkasnya, berFB boleh menyumbang kepada lagha yang kita sedari atau tidak sedari. BerFB juga membuka ruang privasi dan menyumbang kepada pergaulan yang boleh tergelincir daripada adab ikhtilat yang digariskan antara jantina yang berbeza, belum lagi masuk bab 'sharing-mensharing' gambar, komen dan sebagainya.Tidak semua perkara yang saya lakukan harus diketahui oleh semua orang,mungkin segelintir orang yang 'spesial' sahaja yang perlu mengetahuinya begitu juga saya, tidak semua perkara mengenai rakan FB ingin saya tahu.Namun, terkadang, rakan FB yang kita kurang rapat boleh mengetahui sesuatu perkara mengenai kita melebihi teman rapat tanpa perlu bersua muka gara-gara FB,aneh bukan? Tetapi kini, FB menwarkan jaminan privasi yang lebih bagus tapi itu masih bukan teras alasan untuk kita bergaul bebas dan berkongsi tanpa limitasi.Bahkan banyak lagi perkara lain yang saya rasa perlu disibukkan berbanding mengemaskini status FB setiap masa. Tambah pula, jujur, banyak lagi dosa-dosa saya yang lain yang harus ditanggung, manakan daya menambahkan lagi sahamnya melalui FB. Mungkin kita sudah sehabis daya menggunakannya ke arah kebaikan namun berdayakah kita menyekat penggunaan orang lain yang mungkin tidak menepati syarak yang digariskan (e.g ; kat-kata makian, gambar-gambar yang mendedahkan aurat...) dan lebih parah lagi kita boleh mengetahui kelemahan atau keburukan seseorang itu hanya melalui FB. Bukanlah bermaksud kita harus memaparkan semua perkara yang baik-baik sahaja sedangkan kita bukanlah sebegitu rupa tahap baiknya..Apa yang saya takutkan di sini ialah kemungkinan kecenderungan saya untuk melihat seseorang itu dari sudut negatif akan mengelabui hati saya untuk melihat kebaikan yang ada pada seseorang itu...mintak dijauhkan..Sukar untuk kita menjaga hati dalam sehari-hari,apatah lagi ingin sentiasa mengamalkan konsep husnuzon dengan orang lain baik yang rapat mahupun kenalan biasa..99 syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita(saya sedang bermujahadah ke arah itu)..Itulah yang saya ingin elakkan..kerana saya sentiasa ingin melihat kebaikan yang ada pada seseorang..bukan keburukannya . Ya, mungkin kedengaran saya seorang yang ' close-minded', tapi itulah hakikatnya, budaya menghalalkan yang haram sudah menjadi-menjadi, bukanlah bermaksud saya seorang yang baik, mereka kurang baik akan tetapi saya juga tidak ingin bersubahat menambah dosa kepada diri sendiri dan orang lain.Mungkin mereka ini belum menerima hidayah (saya juga sedang berusaha ke arah itu) dan saya yakin mereka ini akan mendapat nur dan berubah menjadi baik malah lebih baik daripada orang baik yang sedia ada(AMEEN).
Kini, setelah dua tahun saya mempertahankan prinsip sebegini, saya diuji dengan keperluan dan kehendak saya dan orang lain. Permintaan seorang pensyarah saya yang ingin membuat kajian mengenai 'FB among students' bagi thesisnya benar-benar buat saya tersentak dan runsing. Pelajar kelas kami dipilih untuk menjadi responden kajian dan setiap pelajar haruslah mempunyai FB dan membuat perbincangan akademik di laman tersebut. Sudah tentu tinggal saya seorang saja yang tidak mempunyai akaun FB dan harus membukanya. Permintaan beliau tidaklah wajib, akan tetapi saya sedar, jika semua pelajar tidak terlibat dalam perbincangan FB ini pasti serba sedikit menjejaskan peratus kesahihan dan kebergantungan kajiannya. Saya  tidak mahu menyusahkan sesiapa, apatah lagi, kali ini tujuannya untuk membantu melengkapkan kajian seorang pencari ilmu. setelah berfikir panjang, saya memutuskan untuk mengenepikan seketika prinsip saya untuk melancarkan proses penimbaan ilmu melaui kajian dan pemerhatian beliau. Besar harapan saya untuk melihat kejayaannya kerana sebagai seorang mahasiswi, kami semua berkongsi keinginan yang sama iaitu ingin berjaya dalam segenap lapangan ilmu. Keperluannya menbuat kajian yang menyeluruh melebihi kehendak saya yang tidak mahu menjadi pengguna FB. Akhirnya, hari ini saya telah mengambil keputusan untuk membuka FB dan moga-moga Allah s.w.t melindungi saya daripada bertambah lalai daripada mengingatiNya. Jika sebelum ini, ketiadaan FB bukanlah menjadi masalah buat saya kerana meskipun jarang bersua saya sangat gemar akan pepatah Inggeris yang berbunyi, " Absences make heart grow fonder" yang mana buat kita lebih menghargai antara satu sama lain dengan lebih baik dan kini dengan adanya FB bukan bermakna saya akan meminggirkan konsep itu akan tetapi akan sering berhubung tetapi dalam lingkungan yang masih terhad dan terbatas(bila-bila perlu). Ini kerana saya lebih gemar ISI BUKU berbanding MUKA BUKU, dan sesungguhnya persahabatan atau sesuatu perhubungan itu haruslah terjalin kerana Allah, berpisah juga kerananya, jadi, jangan sekadar ADD di FB tapi ADD lah terus di hati(fillah :D )...insya-Allah.